Kepimpinan Abdul Hadi masih diperlukan Pas - Tuan Ibrahim

PARIT – Pemikiran dan kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang masih diperlukan untuk menerajui Pas meskipun terdapat pandangan yang mencadangkan supaya beliau digantikan berikutan keadaan kesihatannya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas telah membawa parti itu ke tahap cemerlang dengan kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Pencapaian yang ditunjukkan oleh Presiden membuahkan hasil, jadi tiada sebab untuk kami, khususnya dalam kalangan kepimpinan, meminta beliau mengundurkan diri.

“Yang penting dalam kepimpinan ini bukan soal kekuatan fizikal semata-mata, tetapi pemikiran, idea, pengurusan dan kebijaksanaan. Beliau masih lagi mampu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Parit di Seri Iskandar, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas Kawasan Parit, Muhammad Ismi Mat Taib dan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Tuan Ibrahim turut memaklumkan bahawa tahap kesihatan Abdul Hadi kini beransur pulih selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Keadaan beliau stabil selepas rawatan dan kita jangka dalam satu atau dua hari lagi beliau akan keluar daripada IJN. Jadi, tiada isu yang membimbangkan,” katanya.

Tambah beliau, Abdul Hadi dianggap sebagai tokoh paling senior dalam gerakan Islam di peringkat global.

“Sebagai contoh, pendirian beliau berkaitan isu Sunni dan Syiah menunjukkan kebijaksanaan agar kita tidak terperangkap dengan mainan musuh yang mahu melaga-lagakan sesama umat Islam.

“Pandangan ini telah lama beliau suarakan, dan ternyata kini ia sedang berlaku. Ini menunjukkan bahawa beliau masih menjadi sumber rujukan kepada gerakan Islam lain,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan menjalani prosedur rawatan jantung di IJN selepas dimasukkan ke pusat perubatan tersebut beberapa hari lalu.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman turut memaklumkan bahawa Abdul Hadi sempat mengikuti perkembangan situasi di Iran serta berita politik tanah air sepanjang tempoh rawatan.