PARIT - Pas mahu kerajaan bertegas menyatakan bantahan terhadap campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang membantu Israel melalui tindakan ketenteraan terhadap Iran pada Sabtu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia dan negara-negara lain perlu menyatakan bantahan sama menolak segala bentuk serangan.
Menurutnya, bantahan dan teguran keras perlu dibuat kepada Duta AS di Malaysia berhubung tindakan negaranya itu di Asia Barat.
"Kita membantah sekeras-kerasnya campur tangan AS membantu Israel, dalam kezaliman Israel kepada rakyat Palestin yang mana hospital dibom, anak-anak dibunuh sebagainya.
"Bagaimana Amerika boleh bertindak menyokong Israel? Jadi kita sangat dukacita dengan apa yang berlaku.
"Kita berharap kerajaan bertegas, sesuatu perlu dibuat bagi menyatakan bantahan bersama-sama dengan negara lain," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Parit di Seri Iskandar di sini pada Ahad.
Hadir sama, Yang Dipertua Pas Parit, Muhammad Ismi Mat Taib dan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, tindakan Presiden AS, Donald Trump menghantar pasukan ketenteraannya itu mendapat bantahan daripada anggota Senat AS.
Katanya, konflik itu menimbulkan kebimbangan serius yang boleh mencetuskan peperangan besar, jika tidak dibendung.
"Bahkan Senat AS sendiri pun membantah tindakan presiden yang tidak mengikut prosedur. Sepatutnya perkara itu dibawa ke Senat untuk diluluskan, tiba-tiba Donald Trump bertindak di luar peraturan.
"Sekarang dengan campur tangan AS itu kita yakin kalau tidak dibendung, ia akan jadi satu perang petaka besar di Asia Barat," katanya.
Pada Ahad Trump menyatakan bahawa tentera AS telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordow.
Tindakan tersebut menyebabkan rakyat negara Ucle Sam meluahkan kemarahan dan menolak pembabitan AS dalam konflik itu.