UMNO diseru buka pintu kepada bekas ahli - Md Alwi

KOTA BHARU – UMNO di semua peringkat diseru agar membuka ruang seluas-luasnya kepada bekas ahli dan penyokong yang pernah tersasar, untuk kembali menyertai perjuangan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, parti itu tidak boleh bersikap menghukum atau memusuhi mereka yang suatu ketika dahulu pernah meninggalkan UMNO dan menyokong pihak lawan.

“Hari ini ada yang datang semula, mengaku mereka buang Pas, ramai yang nak balik ke UMNO.

“Saya minta semua bahagian dan cawangan buka pintu, jangan sempitkan laluan. Kita semua pernah tersilap, tapi yang penting sekarang ialah kembali betulkan haluan,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh, di sini, pada Sabtu.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu, Md Alwi yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh turut menekankan bahawa meskipun UMNO telah lama memperjuangkan dasar-dasar Islam, namun parti itu masih gagal menampilkan imej ‘Islam’ yang dapat dilihat dan dirasai secara nyata oleh masyarakat.

“UMNO adalah parti yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, antara yang terawal memperkenalkan perbankan Islam di negara ini.

“Tapi hari ini, ‘Islam’ itu orang tak nampak pada kita, ia dapat dekat orang lain,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO pernah melalui zaman sukar termasuk sifar kerusi di Kelantan, namun mampu bangkit semula apabila barisan kepimpinan dan akar umbi bersatu hati.

Menurutnya, kini tiba masanya untuk UMNO menilai kembali watak pemimpin yang mahu diketengahkan, bukan sekadar mengejar kuasa, tetapi mestilah berjiwa rakyat dan menjadi tempat rujukan masyarakat.

“Beri kepercayaan kepada anak muda dan bantu mereka untuk teruskan perjuangan.

“Kekuatan sebenar bukan sekadar pada jumlah kerusi atau kehadiran pemimpin besar, tetapi pada jaringan akar umbi yang kuat dan pemimpin yang dihormati masyarakat setempat,” katanya.