Pemimpin UMNO syukur Najib lepas tanpa bebas kes SRC RM27 juta

SHAH ALAM - Rata-rata pemimpin UMNO menzahirkan rasa syukur susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Tun Razak atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebook memuat naik kenyataan ringkas berhubung perkara itu.

"Alhamdulillah," ujarnya.

Selain itu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh dan Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid turut berkongsi perkara sama di laman sosial masing-masing.

Pada 3 Februari 2019, Najib yang juga bekas Perdana Menteri didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas Presiden UMNO itu kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.