Persoal DNAA Najib, Akmal Saleh tempelak Rafizi

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mempersoalkan kes dana SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kegagalan pihak pendakwa raya menyediakan dokumen penting bagi meneruskan perbicaraan kes menunjukkan tiada bukti kukuh untuk menyokong pertuduhan.

Menurutnya, hal ini berkemungkinan berpunca daripada pertuduhan yang bersifat dendam semata-mata.

“Jawapannya mudah sahaja, tiada apa-apa bukti kukuh untuk pihak pendakwaan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 dahulu melakukan pendakwaan.

“Malah, perbicaraan tidak dijalankan selama enam tahun. Dokumen pun sehingga ke hari ini belum diperoleh.

“Mungkin ini satu pertuduhan bersifat dendam semata-mata terhadap Najib yang dianiaya selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dr Muhamad Akmal berkata demikian sebagai respons kepada Rafizi berhubung kenyataannya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana pihak pendakwa belum bersedia memulakan perbicaraan.

Hakim K Muniandy membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan agar Najib, 72, diberi perintah DNAA pada 11 Jun lalu.

Rafizi berpandangan bahawa meskipun keputusan DNAA sah dari sudut undang-undang, ia tetap menimbulkan persoalan besar mengenai kesediaan dan kecekapan pihak pendakwa raya dalam menguruskan kes-kes berprofil tinggi.

Pada masa sama, bekas Menteri Ekonomi itu turut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan serta memastikan pertuduhan terhadap Najib difailkan semula dalam masa terdekat berserta bukti lengkap.