Kekosongan jawatan dua menteri, tunggu keputusan PM - Supol Kanan PM

PASIR PUTEH – Kekosongan dua jawatan menteri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, hanya akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, keputusan berhubung penyusunan semula Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri dan perlu dihormati oleh semua pihak.

“Kalau nak isi kekosongan jawatan menteri untuk Rafizi dan Nik Nazmi, itu kita kena tunggu Perdana Menteri sebab beliau yang menyusun Kabinet.

“Rafizi dah buat keputusan dan kita hormati keputusan itu, sementara Nik Nazmi pula, beliau masih bercuti serta kita tunggu perkembangan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil kali ke-68 di sini, pada Jumaat.

**media[3172478]**

Turut hadir, Pengetua SMK Kamil, Mohd Shahrom Ab Rahman dan Yang Dipertua PIBG, Dr Abdul Hadi Hafiz.

Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi yang menjawat jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam masing-masing meletakkan jawatan dari Kabinet dalam pengumuman pada 28 Mei lalu.

Tindakan dibuat selepas Rafizi dan Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada pemilihan parti.

Peletakan jawatan menteri oleh Rafizi yang tewas kepada Nurul Izzah Anwar berkuat kuasa 17 Jun lalu, manakala peletakan jawatan Nik Nazmi pula bermula 4 Julai dan beliau sedang bercuti sehingga 3 Julai ini.

Mengulas spekulasi kemungkinan kekosongan Menteri Ekonomi yang disebut-sebut sebagai layak diisi wakil daripada UMNO, Shamsul bagaimanapun tidak memberi apa-apa komen.