SHAH ALAM – Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan solidariti penuh terhadap Pemuda MCA dalam mempertahankan hak kebebasan bersuara.
Tindakan sayap pemuda koalisi parti berkenaan dibuat susulan siasatan polis yang dijalankan ke atas Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
Setiausaha Pemuda BN dan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, Siew Mun telah dipanggil polis bagi memberikan keterangan berhubung sebuah video tular yang memaparkan beliau menyuarakan kebimbangan awam terhadap isu pengumpulan data telefon bimbit di Malaysia.
Hafiz berkata tindakan berkenaan telah menimbulkan reaksi pelbagai pihak, termasuk sayap pemuda parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.
"Tindakan Siew Mun tidak wajar dianggap sebagai satu kesalahan kerana beliau hanya melaksanakan haknya sebagai warganegara untuk bersuara terhadap isu berkepentingan awam.
“Perkara 10(1) (a) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hafiz berkata hak berkenaan adalah tunjang kepada sistem demokrasi dan tidak boleh disekat hanya kerana berbeza pandangan dengan pihak tertentu.
Berikutan itu, Hafiz menggesa agar pihak berkuasa menghormati semangat perlembagaan dan tidak menggunakan tindakan intimidasi terhadap mana-mana individu yang bersuara demi kepentingan rakyat.
“Isu ini bukan semata-mata melibatkan Pemuda MCA, tetapi melibatkan soal hak rakyat untuk menyuarakan kebimbangan terhadap isu-isu awam. Kebebasan bersuara adalah hak asasi yang tidak boleh dikompromi," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan adalah elemen penting dalam sesebuah demokrasi yang matang, dan kritikan membina seharusnya dilihat sebagai peluang penambahbaikan, bukan ancaman.
Ujarnya, pendirian tegas Pemuda UMNO dan BN ini dilihat sebagai satu mesej jelas kepada kerajaan agar tidak menyekat ruang demokrasi, sekaligus memperlihatkan kesatuan dalam mempertahankan hak-hak rakyat tanpa mengira latar parti komponen.