Didakwa tidak hormat privasi, menteri turunkan gambar ziarah Abdul Hadi

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memadamkan gambarnya bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selepas mengadakan kunjungan ziarah pada petang Rabu.

Tindakan tersebut diambil oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor itu selepas keluarga Abdul Hadi mendakwa lawatan berkenaan tidak menghormati privasi keluarga serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) lawatan hospital.

Perkara ini susulan hantaran Facebook oleh Dr Dzulkefly yang memaparkan gambar beliau menziarahi tokoh berpengaruh Pas itu bersama kakitangan institut berkenaan.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anak kepada Abdul Hadi meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Dr Dzulkefly.

Katanya, penyebaran gambar Abdul Hadi tanpa keizinan keluarga yang dimuat naik di Facebook rasmi Menteri Kesihatan untuk tatapan umum adalah tidak wajar dan sangat tidak beretika.

“Sikap tidak profesional ini amat kami kesali,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Dalam hantaran Facebook terdahulu, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa keadaan Abdul Hadi yang sedang menerima rawatan di IJN kini dilaporkan stabil.