PUTATAN - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan beliau yang akan menentukan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, DUN Sabah tetap akan dibubar bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Orang lain jangan fikir sangatlah. Sebagai ketua menteri, saya akan menentukan nanti. Tapi jelas bahawa tidak berapa lama lagi kita akan mengadakan pilihan raya negeri.
"Sama ada kita suka awal atau lambat tapi ia mesti diadakan. Jadi tunggu kita serah balik kepada rakyat untuk memutuskan siapa kerajaan yang mereka mahu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Petagas dan Kampung Bukit Vor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sri Putatan, di sini, pada Rabu.
Sebelum itu, Hajiji diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa DUN Sabah akan dibubarkan pada hujung bulan Julai.
Ditanya mengenai perbincangan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah, Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu memaklumkan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"Perbincangan awal sudah ada, jadi kita akan menamatkan dalam masa terdekat sebelum bubar," katanya.
Menjawab pertanyaan berhubung kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), beliau menyerahkan perkara itu kepada parti berkenaan.
"Tanyalah BN apa mereka mahu," katanya ringkas.
Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 10 rumah mangsa kebakaran akan dibina semula melalui inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Saya menyampaikan sumbangan awal daripada kerajaan, Yayasan Kebajikan Sabah dan Baitulmal sebanyak RM3,300.
"Lebih kurang 10 rumah kita akan dibina melalui Rumah Mesra SMJ dan rumah yang terbakar sahaja mungkin kita akan beri bantuan antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada setiap mangsa," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri prihatin dengan masalah yang dihadapi mangsa tersebut dan bertanggungjawab untuk membantu mereka.