KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijadualkan menjalani satu prosedur rawatan perubatan pada Selasa.
Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menerusi satu hantaran ringkas di media sosial sebentar tadi.
Dalam kenyataan tersebut, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia, khususnya penyokong Pas, agar kesihatan Abdul Hadi dipelihara dan segala urusan rawatannya dipermudahkan.
“Insya-ALLAH, Ayahanda Tuan Guru akan menjalani suatu prosedur rawatan pada esok hari, 17 Jun 2025.
“Justeru, saya mewakili pihak keluarga memohon agar didoakan kesihatan dan kesembuhan buat Ayahanda Tuan Guru,” katanya.
Bagaimanapun, lokasi dan butiran lanjut mengenai prosedur rawatan berkenaan tidak diperincikan.
Untuk rekod, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sebelum ini pernah menerima rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), dan kali terakhir dilaporkan menjalani prosedur rawatan berkaitan pada 5 Januari tahun lalu.