Langgar Iran tanpa sebab, Amanah sokong tindakan balas Teheran

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk keras tindakan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang didakwa berlaku tanpa sebarang sebab munasabah selain ketakutan terhadap kemampuan nuklear negara itu yang semakin meningkat.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, serangan tersebut yang bermula pada 14 Jun lalu jelas membuktikan keangkuhan Israel yang terus bertindak sewenang-wenangnya tanpa menghormati undang-undang antarabangsa.

“Israel tidak berhak menentukan dan menghadkan kemampuan nuklear negara lain sedangkan mereka sendiri tidak membenarkan sebarang pemeriksaan ke atas fasiliti nuklear mereka oleh badan antarabangsa.

“Iran pula secara konsisten mematuhi peraturan global dan menjalankan pembangunan teknologinya di bawah seliaan agensi nuklear antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Khalid, dari sudut sejarah, penubuhan Israel sejak tahun 1948 telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau Asia Barat apabila negara itu serta sekutunya dikatakan bertanggungjawab menghancurkan negara-negara seperti Iraq dan Syria.

Tindakan ganas Israel turut terserlah menerusi kempen ketenteraannya ke atas Gaza yang kini dikaitkan dengan jenayah genosid terhadap penduduk Palestin, sekali gus memperlihatkan wajah sebenar sebuah negara yang zalim dan fasis.

Konflik terbaru tercetus selepas Iran dilaporkan mempertingkat program nuklearnya di tengah ketegangan serantau.

Walaupun pembangunan tersebut berada di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Israel mendakwa ia sebagai ancaman terhadap keselamatan negaranya.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas beberapa fasiliti strategik Iran pada 14 Jun lalu, mencetuskan kebimbangan tercetusnya peperangan skala besar di rantau Asia Barat.

Dalam kenyataannya, Amanah menyokong hak Iran untuk bertindak balas terhadap pencerobohan itu dan menyanjung sikap Teheran yang sanggup menghentikan serangan jika Israel berbuat demikian terlebih dahulu.

“Ini menunjukkan Iran cintakan perdamaian walaupun memiliki keupayaan ketenteraan luar jangka, termasuk terhadap kuasa besar seperti Amerika Syarikat,” kata Khalid.

Khalid menambah, Amanah turut menyeru agar negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis tidak mencampuri konflik yang telah dimulakan Israel serta mendesak agar Israel ditekan supaya menjadi negara yang adil dan demokratik.

“Ini masa paling sesuai untuk Israel ditekan. Jika tidak, negara itu akan lenyap dari muka bumi kerana tidak mampu lagi mempertahankan kedudukannya yang zalim dan tidak bertamadun,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggesa negara-negara Arab yang berjiran dengan Israel dan Iran supaya menghormati hak Iran untuk mempertahankan diri serta menamatkan sebarang bentuk hubungan diplomatik dan perniagaan dengan Israel sebagai tanda bantahan terhadap tindakan ganasnya.