KPN pilih kampung ibu bukti amalan kronisme - Wan Saiful

SHAH ALAM - Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memilih kampung ibunya sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaannya disifatkan sebagai satu lagi bukti bahawa amalan kronisme semakin memuncak dalam kerajaan hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, lebih menyedihkan apabila perkara itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebuah pasukan penguat kuasa yang sepatutnya menjunjung prinsip integriti dan tadbir urus baik dalam negara.

Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan wujudnya konflik kepentingan yang jelas.

“Lebih buruk lagi, ia membabitkan perbelanjaan wang rakyat oleh sebuah badan penguat kuasa undang-undang. Jika Razarudin mahu membantu kampung ibunya, maka sepatutnya gunakanlah wang sendiri.

“Sejak bila pula seorang individu boleh 'memilih kampung ibunya' untuk menerima wang rakyat sehingga satu juta ringgit?

“Bapa pilih anak, suami pilih isteri, anak pilih ibu, abang pilih adik. Semuanya ada dalam kerajaan hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Razarudin memilih Kampung Parit Seberang di Kuala Pilah, iaitu kampung ibunya, sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaannya.

Beliau berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di kampung tersebut.

Menurutnya, pemilihan itu selaras dengan matlamat program yang bertujuan memperkukuh prasarana dan memenuhi keperluan asas penduduk luar bandar di kampung terpilih.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata beliau menjangkakan akan ada kenyataan rasmi dikeluarkan bagi menafikan berlakunya amalan kronisme.

“Saya jangka lepas ini akan ada kenyataan mereka keluarkan untuk kata bahawa proses pemilihan dibuat secara telus oleh jawatankuasa bebas.

“Sebagai respons awal, saya katakan bahawa ini adalah 'afterthought' selepas barah kronisme didedahkan oleh media, dan itu juga alasan basi yang amat biasa digunakan oleh semua kroni seluruh dunia,” katanya.