IPOH – Meskipun tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebelum ini, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek kekal memegang jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Tapah.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Tapah yang berlangsung pada Sabtu lalu, Abd Muhaimin diumumkan menang tanpa bertanding.
Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, Zainuddin Md Shariff kekal menyandang jawatan tersebut, manakala jawatan Naib Yang Dipertua menampilkan muka baharu iaitu Azuan Ali Aziz.
Sementara itu, Abd Muhaimin mengakui bahawa pada awalnya beliau menolak pencalonan tersebut, namun tidak diterima kerana Pas Kawasan Tapah masih memerlukan khidmatnya.
Menurutnya, penggal 2025–2027 merupakan penggal ketiga beliau sebagai YDP Pas Kawasan Tapah dan dianggap paling mencabar.
“Saya akui penggal ini pastinya mencabar kerana dijangka dalam tempoh ini akan berlangsung Pilihan Raya Umum ke-16. Jadi, gerak kerja ke arah itu harus bermula dari sekarang.
“Buat masa ini kita tidak fikir siapa yang akan menjadi calon atau parti mana yang akan bertanding. Kita hanya fikir soal rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Abd Muhaimin turut menjelaskan bahawa visi dan misi jawatankuasa Pas Kawasan Tapah pada penggal kali ini tertumpu ke arah memperkasa gerak kerja setiap biro yang diwujudkan.
Selain itu, katanya, usaha berterusan akan digerakkan dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum serta memperkasa agama Islam di kawasan Parlimen Tapah.
Pada PRK DUN Ayer Kuning yang lalu, Abd Muhaimin memperoleh 6,059 undi, berbanding calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir yang meraih 11,065 undi dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan seorang lagi calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.