SHAH ALAM – Penyertaan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad ke dalam UMNO diyakini mampu menjadi nilai tambah penting kepada parti itu, khususnya dalam aspek semak dan imbang membabitkan isu integriti serta perundangan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kemasukan Dzulkifli ke dalam UMNO dilakukan secara biasa tanpa sebarang keistimewaan atau perjanjian dengan pimpinan tertinggi parti.
“Beliau berhubung terus dengan ketua cawangan dan ketua bahagian. Dia masuk dari bawah. Bukan jadikan UMNO sebagai transit.
“Tiada permaidani merah, tiada janji jawatan dan tiada gegak-gempita. Tetapi sudah tentu UMNO gembira dengan penyertaan beliau.
“Dia aset ‘check and balance’ UMNO terutama dalam isu perundangan, rasuah dan ketelusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dzulkifli yang berasal dari Pulau Pinang menyertai UMNO menerusi Cawangan Merbau Kudong, Bahagian Tasek Gelugor pada Sabtu lalu.
Beliau yang pernah menerajui SPRM dari Ogos 2016 hingga Mei 2018 menjelaskan dirinya menyertai UMNO sebagai ahli biasa tanpa sebarang perjanjian dengan mana-mana pemimpin parti mahupun janji kepada rakyat.
Ujarnya, beliau memilih UMNO kerana parti itu pernah menjadi wadah dominan suatu ketika dahulu dan ingin membawa nafas baharu dalam memperkasa perjuangan bangsa Melayu.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas tiga tahun menabur khidmat kepada masyarakat sebagai rakyat biasa.