SST: Mungkin PM terlepas pandang, biskut dan santan pun akan naik harga

SHAH ALAM – Cadangan perluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus turut akan menyebabkan barangan keperluan asas rakyat marhaen seperti biskut dan santan mengalami kenaikan harga.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terlepas pandang mengenai perkara tersebut.

Justeru, beliau melahirkan kebimbangan bahawa perluasan cukai SST berkenaan akan memberikan kesan domino ekonomi kepada rakyat biasa, bukan hanya golongan maha kaya.

“Saya bersetuju jika nak cukaikan ‘avocado’ sahaja. Tetapi mungkin PMX terlepas pandang bahawa dalam senarai yang akan dikenakan SST lima peratus nanti ada biskut dan juga santan.

“YAB PMX, biskut dan santan ini digunakan oleh orang yang susah juga. Dan mungkin YAB PMX terlepas pandang mengenai kesan domino ekonomi apabila satu barang naik, maka keseluruhan sistem juga akan naik.

“Maka rakyat juga akan terkesan tidak kira apa status mereka, miskin atau kaya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan mempertahankan peluasan skop SST, khususnya terhadap buah-buahan import, dengan menyatakan bahawa langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.

Anwar memberi gambaran bahawa keputusan itu hanya akan memberi kesan kepada mereka yang memakan buah-buahan mahal seperti avokado.

Muhamad Akmal turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkannya lebih menyeluruh dan cekap.

“Sebab itu satu sistem yang komprehensif dan cekap seperti GST perlu digunakan untuk mengawal aliran cukai dengan lebih efisien.

“Dan mungkin YAB PMX terlepas pandang bahawa GST itu bukan ‘general services tax’, tetapi ia adalah Cukai Barang dan Perkhidmatan, ya,” sindirnya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa barangan pilihan tertentu seperti ketam raja (king crab), salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Langkah tersebut adalah susulan pelaksanaan semakan dan perluasan skop SST yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Bermula 1 Julai 2025, skop cukai perkhidmatan turut diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar lapan peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM500,000 jumlah pendapatan sewaan atau pajakan.

Sementara itu, barangan keperluan asas harian berkadar sifar peratus kekal meliputi ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan, beras, barli, oat, gandum, tepung, sardin dalam tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan.

Cukai jualan sifar peratus juga kekal bagi bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan.