'Dapatan sumber tidak boleh dipercayai'

SHAH ALAM - Dakwaan penstrukturan semula kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dipercayai ditimbulkan oleh dapatan daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sekiranya PN melaksanakan sesuatu inisiatif, mereka pasti akan maklumkan perkara tersebut menerusi saluran rasmi.

“Cerita (dakwaan penstrukturan semula kepimpinan PN) itu tidak ada. Saya pasti ia bermula dengan dapatan sumber yang tidak boleh dipercayai.

“Apa jua melibatkan Bersatu atau PN, kalau ada beberapa perkara hendak buat, kita akan umumkan. Jangan risau kita tidak simpan rahsia,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu, media melaporkan terdapat cadangan supaya penstrukturan semula PN dilakukan bagi memberi kuasa lebih besar kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ujar Ahmad Faizal, Bersatu masih terus mengikuti mekanisme struktur sedia ada dalam gabungan PN.

“Seperti apa yang Timbalan Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) katakan bahawa struktur itu telah ada dan mantap.

“Setakat ini kita teruskan seperti mana yang sedia ada. Kalau sumber yang tidak mahu dinamakan ini (dia) bahaya, jadi jangan kita petik mereka,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, dakwaan berkenaan berkemungkinan dicetuskan bagi menimbulkan rasa tidak puas hati sama ada terhadap gabungan tersebut atau Bersatu.

**media[3167705]**

Menurutnya, ia kerana selain Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, personaliti seperti Hamzah dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mempunyai kekuatan pengaruh tersendiri yang perlu diberikan perhatian.

“Bagi Pas pula, mereka tidak mahu terlibat atau campur tangan dalam apa yang berlaku dalam Bersatu sebaliknya memberi fokus kepada bagaimana untuk menguatkan lagi PN.

“Jika ada sesiapa yang terbabit dalam usaha mengeruhkan keadaan itu, saya fikir kedua-dua pihak parti perlu segera bertemu dan menghentikan apa sahaja spekulasi supaya ia dapat menjernihkan pandangan di peringkat bawahan baik bagi Pas atau Bersatu,” menurutnya.

Kata Sivamurugan, PN berkemungkinan sedang merancang penambahbaikan untuk persiapan ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) memandangkan kedua-dua parti gabungan itu akan mengadakan persidangan pada September depan.

“Walau apa pun PN mempunyai mekanisme dan pendekatan yang akan diambil dalam majlis jawatankuasa pusat mereka bagi memutuskan sebarang perubahan serta pindaan yang wajar dilaksanakan.

“Mungkin apa yang diuar-uarkan ini merupakan cubaan dapatkan maklum balas terlebih dahulu supaya ia menampakkan sama ada perlu dikekalkan tanpa perubahan atau sebaliknya,” ulasnya.