PORT DICKSON - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC akan terus diberikan peluang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah menjadi ketetapan gabungan berkenaan termasuklah menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya akan datang.
"Saya sebutkan bahawa dalam PRU16, kita akan tetap menggunakan lambang dacing sebagai lambang BN.
"Parti-parti dalam komponen BN akan terus diberikan tempat untuk bertanding. Walaupun pilihan raya itu masih lama lagi, tetapi itulah ketetapan yang kita buat," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli.
Menurutnya lagi, jasa dan pengorbanan MCA dan MIC terutamanya perlu terus diingati kerana parti itu adalah pemangkin kepada kewujudan BN ketika perpecahan UMNO pada tahun 1987.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, adalah tidak wajar BN meninggalkan parti terbabit ketika mereka sedang berdepan masalah ketika ini.
"Sewaktu UMNO berpecah dua pada tahun 1987, ketika itu ada kumpulan A dan B, rakan-rakan kita dalam BN terutamanya MCA dan MIC adalah menjadi pemangkin kepada kewujudan BN.
"Ketika PRU14 dan PRU15 yang lalu, mereka mengalami masalah kerana tidak dapat mengekalkan kerusi yang ada. Jadi UMNO mesti menjaga rakan-rakan kita ketika mereka ada masalah dan ini adalah semangat BN yang harus kita perkukuhkan," katanya.
Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinan terhadap rakan-rakan komponen BN yang ada sekarang akan terus bersama memperkukuhkan parti itu.
Ditanya berkenaan 'Himpunan Turun Anwar' yang dijangka akan diadakan pemuda PAS pada 26 Julai nanti beliau berkata, pembangkang akan berterusan melakukan apa saja usaha untuk menjatuhkan kerajaan.
"Insya-ALLAH kerajaan yang ada tidak akan jatuh dengan hanya adanya demonstrasi yang dibuat.
"Sikap pembangkang daripada dulu begitu. Jadi kita jangan risaulah dengan sikap begitu (menjatuhkan kerajaan) dan saya fikir untuk mencacat celakan itu mudah, tapi untuk buat kerja itu susah.
Justeru itu, beliau menyeru parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan supaya terus perkukuhkan penyatuan sedia ada sekali gus memastikan kerajaan yang ada sekarang akan kekal hingga ke PRU16.