TUARAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dijadualkan pada akhir Julai ini.
Bagaimanapun, Presiden Gagasan Rakyat itu berkata, tiada tarikh ditetapkan setakat ini untuk pembubaran DUN, meskipun timbul spekulasi ia akan dilakukan pada penghujung Julai atau awal Ogos.
"Belum lagi, kita mesyuarat dulu perhimpunan agung pada hujung bulan Julai," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Sementara itu, Hajiji berkata, persidangan kali ini penting kerana ia diadakan menjelang PRN17 dan menyeru semua ahli agar bersatu hati.
"Jadi, ingatan dan nasihat saya kepada ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS supaya mereka bersatu hati. Rapatkan barisan, kuatkan jentera parti untuk kita menghadapi pilihan raya yang tidak berapa lama lagi," katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut mengingatkan pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat atau GRS agar mengambil iktibar daripada keadaan politik semasa serta menangkis pembohongan yang disebarkan pembangkang melalui media sosial.
"Kita mesti pandai menilai apa fitnah dan pembohongan serta apa yang dibuat kerajaan. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang dibawa pembangkang.
"Biarlah pembangkang melakukan fitnah, tapi kita ahli Gagasan Rakyat mesti berdiri bersama-sama rakan kita dalam GRS Plus, khususnya di Sulaman ini," katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai kedudukan GRS pada PRN17, khususnya berkaitan rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu.
"Ramai yang tanya saya macam mana keadaan, siapa kawan kita, di mana kita bertanding. Walaupun belum ada keputusan muktamad kerana saya akan bincang dengan komponen GRS, tapi sekarang kita lebih selesa seperti dalam kerajaan sekarang iaitu GRS–PH Plus.
"Inilah sentimen rakyat di bawah sekarang, rakyat kita mahukan ini sekarang. Banyak parti lain cakap takbur, cakap besar di luar, tapi saya bawa ini dalam GRS. Saya tidak buat keputusan berseorangan, ini prinsip saya. Biarlah ia dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS ke mana arah kita pada pilihan raya akan datang," katanya.
Mengenai kerusi DUN Sulaman yang disandangnya sejak 1990, beliau yakin kerusi itu akan terus dipertahankan di bawah GRS pada PRN17.
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan harapan agar tiga kerusi lain di bawah Parlimen Tuaran, iaitu DUN Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu, kekal dipertahankan oleh GRS.