KOTA BHARU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih diperlukan untuk terus menerajui parti itu sekiranya mendapat sokongan dan keyakinan daripada ahli serta penyokong Pas, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil.
Beliau berkata, walaupun berlainan parti, beliau menghormati Abdul Hadi sebagai seorang tokoh politik berpengalaman yang juga sahabat baik kepada arwah bapanya, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, bekas Presiden Pas.
“Saya amat menghormati beliau sebagai Presiden Pas dan kawan baik arwah ayah saya. Jadi, saya merasakan khidmat beliau masih diperlukan.
“Tetapi apa-apa pun, terpulang kepada ahli dan penyokong Pas untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rahmah Mesra Madani dan Perasmian Stesen Minyak Kontena Mudah Alih di Pantai Baru di sini pada Ahad.
Muhammad Faiz turut menegaskan pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain, sebagaimana yang diarahkan kepada pimpinan Amanah sebelum ini.
“Saya tidak boleh mencampuri pemilihan parti lain, sebagaimana saya juga beri arahan dalam pembentangan Amanah supaya tidak campur tangan pemilihan Keadilan dan Pas.
“Tetapi secara peribadi, saya ada hubungan baik dengan Tok Guru dan saya mendoakan kesihatan yang baik kepada beliau untuk terus memimpin Pas,” katanya.
Sebelum ini, terdapat pemimpin Amanah yang mencadangkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengganti sekiranya Abdul Hadi memilih untuk berundur daripada kepimpinan tertinggi parti.