TUARAN – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kenyataan untuk tidak bekerjasama itu datang daripada Barisan Nasional (BN) sendiri, justeru tiada keperluan untuk memaksa pihak yang tidak berminat bekerjasama dengan gabungannya menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah turut menyokong pendapat Timbalan Setiausahanya, Datuk Armizan Mohd Ali, namun pada masa sama memaklumkan sebarang keputusan berkaitan kerjasama belum dimuktamadkan oleh GRS.
"Saya sokong pendapat Armizan tetapi apa pun kita belum buat keputusan muktamad.
"Ini bukan dari kami, tetapi daripada parti BN yang menyatakan mereka tidak berminat, jadi kita jangan paksa orang kalau mereka tidak berminat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman Kali Ketiga di Dewan Seri Sulaman, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan bahawa GRS sentiasa bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja dalam PRN akan datang.
"Jadi itu pendirian kita, tapi apa pun bentuk kerjasama mesti diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS nanti," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu menyatakan persetujuannya berhubung hasrat Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin agar GRS dan BN bertembung dalam PRN Sabah kali ini.
Pertembungan antara kedua-dua gabungan parti itu dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi menyerahkan mandat sepenuhnya kepada rakyat untuk menentukan parti pilihan mereka.