PERMATANG PAUH – UMNO perlu menampilkan imej baharu yang lebih segar dan diyakini rakyat jika ingin kekal relevan serta kembali menjadi parti dominan dalam landskap politik negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi yang tersusun, UMNO harus mendengar dan mengambil pandangan daripada akar umbi serta bersedia menghadapi realiti baharu politik negara.
"Sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi tersusun, pandangan daripada akar umbi mesti diambil serius oleh pucuk pimpinan.
"Ini penting bagi memastikan UMNO kekal menjadi parti yang mendengar dan bertindak terhadap suara rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Permatang Pauh di sini pada Ahad.
Menurutnya, cabaran utama UMNO kini adalah bagaimana untuk kembali meraih sokongan majoriti, terutamanya daripada generasi muda yang semakin kritis dan celik maklumat.
“Dalam tempoh dua tahun akan datang, majoriti pengundi adalah mereka yang berumur bawah 40 tahun. Mereka adalah kelompok yang dinamik, terbuka dan tidak terikat dengan sentimen lama.
"Justeru pendekatan kita perlu berubah. UMNO mesti tampil dengan wajah yang segar dan meyakinkan. Kita akan berhadapan dengan beberapa siri pilihan raya antaranya di Sabah, Melaka, Johor dan pilihan raya umum (yang terpenting).
"Sudah tentu dalam tempoh terdekat, fokus kita adalah mempersiapkan parti dalam semua aspek. Sudah tentu kita harap, persidangan UMNO bahagian yang sedang berlangsung ketika ini harus dimanfaatkan untuk kita memperkukuhkan parti dalam semua aspek," katanya.
Shamsul Anuar turut menekankan bahawa UMNO tidak boleh lagi mengulangi kesilapan lalu, termasuk kegagalan membuat persiapan rapi ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan banyak kerusi hilang kepada pihak lawan.
“Dulu kita ada 79 kerusi, angka itu besar tetapi kerana kita tidak bersedia, kita kecundang dan ramai rakan-rakan meninggalkan Barisan Nasional.
"Sebab itu kalau nak menang, kita mesti tunjuk kekuatan. Kekuatan itu bermula di peringkat bahagian dan cawangan,” katanya.
Tambahnya, UMNO juga harus mengekalkan sokongan padu daripada kaum Melayu yang menjadi asas kekuatan parti, tanpa mengenepikan keperluan untuk meraih sokongan masyarakat pelbagai kaum.
“UMNO adalah parti berteraskan sokongan orang Melayu, jadi sudah tentu kita perlu dominan dalam kelompok ini.
"Namun dalam masa sama, kita tetap menjaga kepentingan kaum lain. Keseimbangan ini penting untuk membina semula keyakinan rakyat,” jelasnya.
Mengulas kemungkinan kerjasama dengan parti luar tradisi UMNO dalam menghadapi pilihan raya akan datang, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan.
“Politik itu dinamik. Apa pun boleh berlaku. Yang penting UMNO mesti bersedia dalam semua keadaan dan situasi.
"Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada formula lama," katanya sambil menyerahkan soal agihan kerusi kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.
Beliau turut memohon agar setiap bahagian memanfaatkan sepenuhnya musim persidangan perwakilan ini untuk memperkukuh jentera, mendengar pandangan akar umbi dan memperbaiki kelemahan parti.
“Kalau kita mahu bertanding di kawasan tertentu, kita mesti buktikan kita kuat di situ.
"Meyakinkan pucuk pimpinan bukan dengan cakap kosong, tetapi melalui gerak kerja yang nyata,” katanya.