PN gesa kerajaan laksana segera empat reformasi tambah baik, jamin kebebasan badan kehakiman

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera melaksanakan empat reformasi bagi menambah baik prosedur pelantikan hakim dan menjamin kebebasan badan kehakiman negara.

Tindakan itu perlu menjadi keutamaan kerajaan sedia ada susulan keputusan persaraan serentak sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam masa terdekat.

Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan sebarang usaha untuk mencampuri urusan pelantikan hakim akan mencetuskan krisis kepercayaan rakyat dan mengulangi sejarah hitam sistem perundangan negara.

Berikutan itu, PN mendesak Kerajaan Madani melaksanakan empat tuntutan utama berkenaan demi memelihara kebebasan badan kehakiman di Malaysia pada masa depan.

"Pertama, PN mendesak agar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) diberi kebebasan penuh untuk menjalankan fungsinya dalam pelantikan hakim tanpa sebarang tekanan politik.

"Pelantikan hakim termasuk Ketua Hakim Negara, mestilah berdasarkan merit, integriti dan pengalaman, bukan hubungan politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, bagi menjamin ketelusan, PN mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan yang akan memantau pelantikan kehakiman secara profesional dan seimbang tanpa mengganggu prinsip pengasingan kuasa.

Katanya, PN juga menuntut komitmen terbuka daripada perdana menteri untuk tidak mencampuri urusan pelantikan hakim.

"PN menekankan bahawa campur tangan eksekutif dalam hal kehakiman jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga, PN mendesak kerajaan supaya mengkaji semula pindaan terhadap Perkara 121, Perlembagaan Persekutuan yang dibuat pada 1988.

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu bagi mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai cabang yang setara dengan badan legislatif dan eksekutif.

Takiyuddin turut merujuk kenyataan tegas Tengku Maimun yang mengimbau kembali Krisis Kehakiman 1988 – satu peringatan bahawa bayangan campur tangan politik sudah cukup untuk merosakkan keyakinan rakyat terhadap mahkamah.

“Gelombang persaraan ini bukan sekadar perubahan biasa kerana ia adalah ujian terbesar terhadap integriti institusi kehakiman negara. Kita mesti belajar dari sejarah dan mengelak daripada mengulangi kesilapan lampau,” tegas beliau.

Takiyuddin berkata, kebebasan kehakiman bukan pilihan, tetapi asas kepada demokrasi yang sihat.

"Tanpa institusi kehakiman yang bebas dan adil, negara akan terdedah kepada krisis perlembagaan dan ketidakstabilan undang-undang.

“PN akan terus memainkan peranan semak dan imbang bagi mempertahankan maruah institusi kehakiman negara daripada bayangan politik atau era pengkhianatan perlembagaan yang tidak wajar berulang,” katanya.