Dakwaan kerajaan tak prihatin terhadap masyarakat India hanya persepsi

IPOH – Tanggapan bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap masyarakat India hanyalah satu persepsi yang timbul akibat kelemahan komunikasi dasar serta penyebaran kenyataan berunsur fitnah tidak berasas.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tambun, R Sharvin berkata, naratif itu perlu diperbetulkan agar masyarakat memahami pelbagai usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan komuniti India malah pelbagai inisiatif bersasar telah dan sedang dilaksanakan secara berstruktur, berperingkat dan berterusan demi memastikan kebajikan masyarakat India terus terbela.

"Di peringkat Pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun juga kebajikan masyarakat India tidak pernah dipinggirkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, antara inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan termasuklah tumpuan khusus kepada masyarakat India dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober ini.

Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan RM1.5 juta bagi bantuan bakul makanan sempena sambutan Deepavali serta RM20 juta untuk pembinaan kemudahan krematorium di beberapa negeri termasuk Kedah, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sharvin berkata, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) turut menerima peruntukan RM100 juta untuk pelaksanaan pelbagai program termasuk latihan kemahiran, bantuan pendidikan keluarga B40, keusahawanan, pembangunan sosial serta kebudayaan masyarakat India.

“Selain itu, TEKUN Nasional turut menyediakan pembiayaan mikro melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dengan peruntukan RM30 juta, manakala RM50 juta lagi disalurkan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) khusus untuk membantu usahawan wanita India.

"Usaha memperkasa sosioekonomi masyarakat India tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan bersama oleh seluruh masyarakat sambil menolak politik perkauman yang hanya merugikan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Sharvin berkata, AMK Tambun mengalu-alukan segala teguran dan pandangan, namun biarlah ia bersandarkan kepada fakta, bukan persepsi semata-mata.

Beliau berkata, kepimpinan Anwar telah menunjukkan komitmen jelas dan menyeluruh dalam memastikan masyarakat India terus dilibatkan dalam agenda pembinaan negara di bawah kerangka Malaysia Madani.