‘Laksana semula GST yang lebih baik dan berkesan’ – Dr Akmal

SHAH ALAM – Kerajaan digesa untuk tidak segan mengakui kelebihan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan melaksanakan semula kerana ia lebih berkesan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, pelaksanaan GST pada kadar enam peratus sebelum ini tidak membebankan rakyat berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamalkan sekarang.

“Dulu GST 6 peratus membebankan rakyat.

“Sekarang rakyat perlu bayar SST (lima atau 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan) ditambah dengan pengurangan jenis barangan bercukai daripada 8,084 kepada 1,813 barang,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan kerajaan akan melaksanakan semakan semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai ini, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.

Langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Dalam pada itu, Akmal turut menggesa kerajaan agar tidak malu atau segan untuk menyatakan polisi perlaksanaan GST dulu jauh lebih baik dan tidak membebankan rakyat.

“Nanti guna sahaja alasan manifesto hapus GST bukan kitab suci. Yang penting rakyat tidak terbeban dan cukai dapat dikutip dengan baik,” katanya.