SHAH ALAM - Pelaksanaan hampir serentak perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif asas elektrik dan subsidi bersasar untuk RON95 oleh Kerajaan Madani dalam separuh kedua tahun 2025 dijangka terus menekan rakyat dan peniaga.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Dr Radzi Jidin berkata, realitinya rakyat terbanyak tetap akan terkesan, sebagaimana impak kenaikan dan perluasan skop SST serta peningkatan harga diesel yang berlaku pada tahun 2024.
Menurutnya, kerajaan perlu mempunyai kerangka percukaian yang holistik dan jelas sebelum sebarang dasar dilaksanakan bagi menjamin dasar tersebut tidak membebankan rakyat dan peniaga.
“Kerajaan juga perlu membentuk jaringan keselamatan sosial yang holistik, sistematik dan teratur dalam menangani kesan kenaikan kos tenaga kepada rakyat.
“Jadilah kerajaan yang prihatin dan memahami kesukaran yang ditanggung rakyat, bukannya mengambil jalan mudah dengan melaksanakan dasar tanpa kerangka jelas semata-mata untuk meningkatkan hasil negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, pada 1 Mac 2024, kerajaan menaikkan kadar SST daripada enam peratus kepada lapan peratus serta memperluaskan skop cukai tersebut, termasuk sektor logistik.
Pada 10 Jun 2024, kerajaan menaikkan pula harga diesel sebanyak 56 peratus. Pelaksanaan dasar-dasar ini pada 2024 telah memberi impak berganda dan berantai kepada seluruh rantaian bekalan.
“Akibatnya, kos sara hidup serta kos pengeluaran dan operasi perniagaan melonjak naik. Tahun 2025 bermula dalam keadaan harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi, terutamanya akibat kenaikan kadar dan perluasan skop SST serta kenaikan harga diesel yang dilaksanakan pada 2024.
“Bagi peniaga, kenaikan gaji minimum pada 1 Februari lalu turut diambil kira dalam menentukan kos keseluruhan operasi dan penetapan harga barang serta perkhidmatan. Pada masa yang sama, ekonomi dunia pada awal tahun 2025 berada dalam keadaan tidak menentu, berpunca antara lain daripada konflik geopolitik dan perang dagang global, khususnya melibatkan cadangan pelaksanaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Menurutnya, apa yang berlaku telah memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan turut menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran dan operasi perniagaan, termasuk di Malaysia.
“Telah menjadi sifat umum harga barangan dan perkhidmatan di pasaran, apabila meningkat, amat sukar untuk ia turun semula,” katanya.
Perluasan Skop SST
Radzi berkata, pelaksanaan tiga dasar utama kerajaan bagi tahun 2025 bermula dengan perluasan skop SST. Dalam ucapan Belanjawan 2025, kerajaan menyatakan perluasan tersebut akan bermula pada 1 Mei lalu, melibatkan barangan premium seperti ikan salmon dan avokado.
Namun, pada 29 April lepas, kerajaan mengumumkan penangguhan pelaksanaan kerana Kementerian Kewangan masih memperincikan butiran pelaksanaan.
Menurutnya, ini menunjukkan kerajaan belum bersedia dan tidak mempunyai kerangka percukaian yang jelas.
Tambahnya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 9 Jun lalu mengumumkan bahawa perluasan skop SST akan bermula pada 1 Julai 2025, dan dijangka menyumbang hasil tambahan sebanyak RM10 bilion setahun.
“Senarai barangan dikenakan cukai meningkat daripada 62 muka surat kepada 222 muka surat, manakala barangan dikecualikan cukai menurun daripada 282 kepada 103 muka surat.
“Perluasan ini jelas ketara dan akan memberi kesan kepada rakyat serta peniaga pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau menyifatkan dakwaan bahawa perluasan SST hanya tertumpu pada barangan premium sebagai mengelirukan dan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya lagi, perluasan skop cukai perkhidmatan pula akan melibatkan kadar lapan peratus kepada perkhidmatan yang sebelum ini tidak dikenakan cukai, seperti sewaan, pajakan, pembinaan, kewangan dan pendidikan.
“Tindakan ini akan meningkatkan kos operasi peniaga dan memberi kesan kepada harga perkhidmatan yang akan dibayar rakyat,” ujarnya.
Kenaikan Tarif Elektrik
Radzi turut merujuk pengumuman oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 26 Disember 2024 yang menyatakan tarif asas elektrik akan dinaikkan bermula 1 Julai 2025.
Beliau berkata, walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan, kenaikan itu akan memberi kesan besar kepada komuniti peniaga kerana kos pengeluaran meningkat dan akhirnya membebankan rakyat.
“PN sebelum ini telah menggesa kerajaan agar tidak meneruskan hasrat menaikkan tarif asas elektrik, mengambil kira cabaran ekonomi global,” katanya.
Subsidi Bersasar RON95
Menurutnya, subsidi bersasar untuk petrol RON95 diumum dalam Belanjawan 2025 untuk dilaksanakan pada pertengahan tahun ini, dengan jaminan bahawa hanya kumpulan T15 dan warga asing akan terkesan.
Namun, sehingga kini, tiada pengumuman rasmi mengenai takrifan kumpulan T15.
“Kenaikan harga petrol memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran dan menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup, termasuk kepada mereka yang tidak berada dalam kumpulan T15,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar sehingga satu sistem jaringan keselamatan sosial yang holistik dan berfungsi diwujudkan.
“PN juga mencadangkan penubuhan sebuah agensi tunggal sebagai pusat sehenti bagi menyelaras bantuan kepada rakyat,” katanya.