BAGAN DATUK – UMNO perlu menyusun strategi bagi menawan semula sokongan rakyat sekiranya mahu kembali menjadi parti dominan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, politik lama yang berasaskan perkhidmatan semata-mata tidak lagi mencukupi apabila parti kini berhadapan dengan cabaran besar dalam bentuk fitnah yang tersebar luas melalui media sosial.
“Kalau kita tidak menangani fitnah, lemparan dan terjangan atas kebencian yang dihebahkan dan dilontarkan kepada kita, maka kita akan tenggelam dengan fitnah yang dipercayai.
“Fitnah yang tersusun akan lebih dipercayai berbanding kebenaran yang tidak langsung tersusun. Inilah politik baharu di mana-mana negara,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun pada Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pemimpin dan ahli parti perlu membina kekuatan baharu, menjawab isu dengan segera dan mengelakkan daripada menularkan perkara yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Di zaman ini, media sosial memainkan peranan penting. Satu hantaran atau podcast boleh dilihat oleh jutaan orang. Kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama dengan berceramah di hadapan 30 orang.
“Keadaan telah berubah dan UMNO harus berubah. Kita boleh pergi ke rumah-rumah menyantuni rakyat; pendekatan dan perkhidmatan masih boleh diteruskan, tetapi bukan semata-mata dengan cara itu.
“Ada kumpulan sasaran yang tidak lagi menghargai apa yang kita berikan. Ada wakil rakyat yang membawa masuk jenazah ke liang lahad, tetapi apabila tiba pilihan raya, keluarga si mati tidak pun mengundi calon berkenaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, pasukan pengurusan krisis akan ditubuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Tambahnya, pasukan itu akan berperanan menangani pelbagai isu berbangkit berkaitan pilihan raya tersebut serta PRN di negeri-negeri lain.