Armizan setuju GRS, BN bertembung di PRN Sabah

KOTA BELUD – Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan persetujuan terhadap hasrat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin agar GRS dan BN bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, pertembungan antara kedua-dua gabungan parti merupakan pendekatan terbaik bagi menyerahkan mandat sepenuhnya kepada rakyat untuk menentukan parti pilihan mereka.

Menurut beliau, langkah tersebut juga mampu mengelakkan sebarang dakwaan bahawa kemenangan sesuatu pihak hanya bergantung kepada kekuatan gabungan tertentu.

“Saya bersetuju dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa biarlah dalam PRN akan datang ini, GRS dan BN bertembung.

“Dengan menyerahkan kepada rakyat, maka sesiapa pun yang menang nanti tidak akan timbul tuduhan bahawa parti A menang kerana kekuatan parti B. Tiada lagi tuduhan khianat-mengkhianati.

“Biarlah kekuatan parti yang bertanding disandarkan kepada sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tempasuk di Dewan Al-Arsad, Kampung Kaguraan, di sini, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Papar itu turut menegaskan bahawa hasrat Bung Moktar tersebut wajar dihormati tanpa membelakangkan kedudukan beliau sebagai pemimpin tertinggi UMNO Sabah.

“Semua pihak perlu tunaikan hajat Bung Moktar ini dan tidak ada sesiapa pun – di mana-mana peringkat sekalipun – wajar membelakangkan pendirian beliau sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang berautonomi,” ujarnya.

Bagaimanapun, Armizan menjelaskan bahawa kenyataan itu merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi GRS.

“Setakat ini saya tidak bercakap mewakili GRS secara rasmi. Ini pandangan peribadi saya. Saya bersetuju dan hajat Bung Moktar perlu ditunaikan.

“Saya lihat kerajaan negeri hari ini berjalan amat baik melalui kombinasi kerjasama yang sedia ada. Namun, suara dan sentimen pemimpin serta penyokong GRS di akar umbi memang mahu bertembung dengan BN,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa GRS tetap terbuka meneruskan kerjasama dengan parti-parti teras dalam kerajaan negeri, iaitu GRS dan Pakatan Harapan (PH), seperti yang pernah dinyatakan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita wajar menghargai pendirian PH yang mengutamakan kestabilan dengan menolak cubaan menggulingkan kerajaan negeri sebelum ini dan menyokong Datuk Seri Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri.

“Kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak wajar dijadikan penghalang kerana, pertama, tiada klausa dalam MoU pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mewajibkan kerjasama itu diteruskan ke peringkat negeri.

“Kedua, PRN ini adalah untuk memilih kerajaan negeri, bukan Kerajaan Persekutuan.

“Ketiga, pertembungan antara parti dalam Kerajaan Persekutuan bukan perkara baharu – ia pernah berlaku di Sabah suatu masa dahulu, dan juga di Melaka serta Johor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa soal kerjasama atau pertembungan tidak harus menjadi polemik berpanjangan, sebaliknya rakyat harus diberi ruang sepenuhnya untuk membuat penilaian dan pilihan.