PKR Lumut pertahan keputusan pemilihan, kecam tindakan lapor ROS

LUMUT – Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lumut menegaskan bahawa keputusan pemilihan cabang itu pada April lalu adalah sah dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak sama ada dari segi teknikal mahupun moral.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, PKR Cabang Lumut memaklumkan bahawa kemenangan Abdul Razak Nazri sebagai Ketua Cabang diputuskan berdasarkan majoriti mutlak selepas memperoleh 514 undi, bersamaan 53.32 peratus daripada keseluruhan undi yang dikira.

“Ini merupakan kemenangan jelas dan demokratik, melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan undi. Lebih penting, hampir kesemua calon dari barisan beliau turut memenangi jawatan masing-masing, sekali gus membuktikan proses pemilihan berjalan secara konsisten dan telus,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, tiga pencabar jawatan sama memperoleh jumlah undi yang jauh lebih rendah iaitu Mohamad Imran Abd Hamid dengan 180 undi; Dr RN Rajan (148 undi) dan Ireland Mohar Abd Rahman (122 undi).

Jumlah undi ketiga-tiga pencabar tersebut adalah 450 undi secara keseluruhan, iaitu 64 undi kurang berbanding yang diterima Abdul Razak secara individu.

“Ini menunjukkan bahawa ahli Cabang Lumut telah membuat pilihan yang tegas, tepat dan tidak terpecah. Maka segala dakwaan mengenai ketidaktelusan, pengurusan lemah atau keraguan terhadap keputusan adalah tidak berasas,” tegas kenyataan itu.

Majlis Pimpinan Cabang Lumut turut mengecam tindakan membuat laporan kepada pihak polis dan mendesak campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai tindakan tergesa-gesa yang mencerminkan keengganan menerima keputusan demokratik.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dalam kalangan akar umbi, malah membuka ruang kepada persepsi negatif terhadap parti secara keseluruhan.

“Perlu ditegaskan, PKR mempunyai struktur perlembagaan dan saluran rasmi bagi menyemak serta menangani bantahan, antaranya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Pimpinan Pusat.

“Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya disalurkan mengikut saluran dalaman yang telah diperuntukkan,” jelas kenyataan tersebut.