JOHOR BAHRU – Sebanyak 2,197 cawangan UMNO di Johor berjaya melaksanakan Persidangan Cawangan dengan cemerlang, membuktikan bahawa akar umbi parti masih kukuh dan setia.
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu menjadi petanda bahawa denyut perjuangan UMNO di negeri kelahirannya masih hidup dan tidak pernah padam.
“Kita baru sahaja menamatkan Persidangan Cawangan di seluruh negara. Di Johor sahaja, terdapat 2,197 cawangan UMNO dan hampir semuanya berjaya melaksanakan persidangan dengan cemerlang.
"Syabas dan tahniah diucapkan! Ini bukan sekadar angka, ini adalah bukti bahawa akar umbi UMNO Johor masih utuh dan setia. Di negeri kelahiran UMNO ini, denyut perjuangan tidak pernah padam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menteri Besar Johor itu turut mengingatkan bahawa UMNO telah melalui pelbagai cabaran termasuk rebah, difitnah, malah hampir ditolak sejarah, namun kebangkitan parti bukan kerana nama, tetapi kerana amanah perjuangan yang terlalu besar untuk diabaikan.
“UMNO bukan milik satu generasi, UMNO milik seluruh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia yang mengimpikan masa depan yang lebih baik.
"Maka tanggungjawab kita kini bukan sekadar mempertahankan legasi tetapi membina semula keyakinan dan menyemarakkan semangat kebangkitan,” ujarnya.
Tambah beliau, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian 2025 yang berlangsung mulai 9 Jun hingga 27 Julai ini perlu menjadi titik tolak kepada pembaharuan serta medan untuk menyusun kekuatan dan memperkukuh keyakinan rakyat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh perwakilan, kepimpinan dan jentera UMNO Johor yang terus berkhidmat tanpa mengenal jemu. Kalianlah tulang belakang dan nadi parti keramat ini. Tanpa kekuatan dan keikhlasan kalian, UMNO Johor tidak akan berdiri seteguh hari ini," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa agenda “Maju Johor” adalah cerminan prinsip dan perjuangan UMNO Johor yang mesti diperjuangkan sehingga ke peringkat akar umbi.
“UMNO Johor bukan hanya sebuah parti politik. Ia adalah wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air.
"Tanggungjawab ini amat besar, tetapi kita mampu memikulnya jika kita kekal bersatu dan istiqamah dalam perjuangan. Insya-ALLAH, UMNO Johor akan terus menjadi tiang seri kestabilan negeri dan negara, membela rakyat, memperjuangkan keadilan sosial dan menjadi pemangkin perpaduan nasional," katanya.