ALOR SETAR – Pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi susulan kekalahan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan beberapa dasar ekonomi utama, termasuk Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dan Dasar Gaji Progresif.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, sebagai antara arkitek utama reformasi ekonomi kerajaan, Rafizi telah memperkenalkan beberapa inisiatif yang dikatakan bakal membawa perubahan besar kepada struktur ekonomi negara.
Namun, dengan pengundurannya yang disifatkan sebagai ‘pelarian daripada amanah’, pelaksanaan dasar-dasar tersebut kini menjadi persoalan.
“PADU yang diperkenalkan untuk memastikan subsidi bersasar masih belum digunakan secara rasmi dalam pelaksanaan subsidi. Sehingga kini, tiada kenyataan jelas mengenai sama ada PADU akan diteruskan atau mengalami perubahan selepas Rafizi meninggalkan kementeriannya.
“Jika PADU gagal mencapai sasaran, siapa akan bertanggungjawab?” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Rafizi memaklumkan Jumaat merupakan hari terakhir beliau memasuki pejabat bagi menyelesaikan urusan dan mengemas barang, seolah-olah memberi bayangan keputusannya untuk meletakkan jawatan adalah muktamad.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, ramai pihak bimbang sistem itu mungkin hanya akan tinggal sebagai projek yang tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Jelasnya, RMK13 yang sepatutnya menjadi rangka kerja ekonomi jangka panjang negara masih belum dibentangkan secara rasmi, dan peralihan kepimpinan di Kementerian Ekonomi dikhuatiri akan menyebabkan kelewatan atau perubahan terhadap strategi yang telah dirangka sebelum ini.
“Dasar Gaji Progresif, yang dipromosikan sebagai langkah meningkatkan pendapatan pekerja dalam sektor tertentu, masih belum diterapkan secara menyeluruh.
“Dengan peralihan kepimpinan, dasar ini mungkin memerlukan semakan semula atau penyesuaian sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah beliau, rakyat kini tertanya-tanya siapa yang akan memikul beban tanggungjawab untuk memastikan dasar-dasar tersebut diteruskan tanpa gangguan akibat perubahan politik.
Menurutnya, keputusan Rafizi untuk berundur tanpa menyelesaikan pelaksanaan projek-projek berkenaan telah dikritik sebagai satu bentuk pengabaian amanah, meninggalkan rakyat dengan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
“Rafizi sepatutnya menyempurnakan mandat beliau kepada rakyat hingga ke garisan penamat. Meletak jawatan sebelum dasar selesai hanyalah satu bentuk pengabaian terhadap amanah.
“Lebih mengecewakan, beban dasar itu kini bakal ditinggalkan kepada menteri lain tanpa kerangka pelaksanaan yang jelas,” jelas beliau.