PRN Sabah: PN perkukuh organisasi, jentera parti

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) menyusun semula organisasi dan jentera parti itu di Sabah bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang dijangka berlangsung sekitar September atau Oktober ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah pengukuhan itu diputuskan dalam mesyuarat PN Sabah pada 12 Jun lalu yang turut melibatkan perwakilan parti komponen.

“PN di Sabah sudah adakan mesyuarat negeri semalam dan kami setuju untuk perkukuhkan organisasi dan jentera parti.

“Pas sebagai salah satu komponen dalam PN di Sabah juga akan perkemas jentera sendiri bersama parti lain termasuk Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu, di sini pada Jumaat.

Menurut Tuan Ibrahim, selain soal organisasi parti, Pas turut memberi tumpuan kepada isu besar yang sedang menekan rakyat, terutama berkaitan ekonomi dan kebajikan.

“Cukai makin naik, subsidi ditarik balik. Waktu Bajet umum dulu hanya sebut beberapa item saja, tapi sekarang hampir semua kena cukai lima peratus, bulan depan pula dijangka subsidi minyak petrol ditarik balik.

“Semua ini beri kesan berangkai dan tekanan ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut mengulas kekosongan beberapa jawatan penting dalam Kabinet susulan peletakan jawatan Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad serta desas-desus Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal mengosongkan jawatan.

“Ini bukan benda kecil sebab semua kementerian kanan dan penting. Ia kait dengan kestabilan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Dalam keadaan negara menuju PRN Sabah dan beberapa negeri lain selepas itu, polemik dalaman kerajaan dan tekanan ekonomi boleh beri kesan besar kepada rakyat dan pengundi,” katanya.

PRN Sabah yang terakhir diadakan pada 26 September 2020 dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disokong PN dan Barisan Nasional membentuk kerajaan selepas menang majoriti.

Penggal lima tahun itu dijangka tamat selewat-lewatnya Oktober 2025.