Tak perlu tukar kerajaan untuk hadkan arak – Ketua UMNO Maran

KUANTAN – Tidak perlu menukar kerajaan semata-mata atas alasan mahu menghadkan penjualan minuman keras kerana Pahang sudah lama melaksanakan penguatkuasaan tersebut mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Ketua UMNO Maran, Datuk Sri Shahaniza Shamsuddin berkata, penjualan arak di Pahang bukanlah perkara baharu yang perlu ditunggu untuk dilaksanakan oleh mana-mana parti, termasuk Pas.

Menurutnya, kerajaan Pahang sejak sekian lama telah menetapkan syarat ketat terhadap penjualan arak, iaitu hanya dibenarkan kepada individu bukan Islam, di premis yang memiliki lesen sah serta di kawasan yang bukan majoriti Muslim, sebagaimana yang diamalkan di Kelantan.

“Kenapa pula had-had? Hadkanlah terus... maknanya (Pas) tidak boleh hendak buat juga. Bukan tidak boleh hendak buat, sebab memang negara kita ini masyarakat majmuk... ada masyarakat bukan Islam.

“Di Pahang ini berleluasa ke penjualan arak secara terbuka? Hendak tunggu Pas memerintah ke? Tidak tuan-tuan, di Pahang ini pun penjualan arak terhad,” katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi TikTok di sini, malam Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar yang mendakwa selepas Pas menawan Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghadkan penjualan arak di negeri itu, dan dasar yang sama akan dilaksanakan di Pahang sekiranya parti itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mengulas lanjut, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan bahawa kawalan terhadap penjualan minuman keras di Pahang telah diperincikan melalui undang-undang sedia ada.

“Penjualan arak di Pahang tertakluk kepada beberapa undang-undang termasuk di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain peruntukan Enakmen Jenayah Syariah di bawah Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

“Penjualan arak, walaupun tidak diharamkan sepenuhnya, tetapi tetap dikawal,” katanya.

Shahaniza berkata, lesen penjualan arak tidak dikeluarkan sewenang-wenangnya kerana setiap permohonan perlu mematuhi peraturan tertentu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

“Hendak dapatkan lesen bukan senang, kena iklan dulu dalam surat khabar, kemudian dalam tempoh tertentu orang ramai boleh buat bantahan.

“Kalau ada bantahan, PBT akan kaji semula dan mungkin lesen tidak diberikan... jadi kita sebagai masyarakat kena peka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kawalan penjualan arak di Pahang tidak hanya terhad kepada aspek perlesenan, bahkan turut tertakluk kepada undang-undang syariah yang melarang orang Islam daripada terlibat dalam urusan jual beli arak.

“Di bawah Enakmen Jenayah Syariah Pahang, adalah satu kesalahan bagi orang Islam membeli atau menjual arak. Hukuman boleh sampai denda, sebatan atau penjara, dan kes ini dibawa ke Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penjualan arak di kedai serbaneka juga tertakluk kepada syarat lesen tertentu.

“Contohnya orang kata kedai serbaneka ada jual... mereka ikut syarat lesen, jumlah alkohol yang dibenarkan tidak lebih tiga peratus.

“Tapi kalau kita rasa tak sesuai sebab kawasan majoriti Muslim, kita boleh buat bantahan,” katanya.