KOTA KINABALU - Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menyifatkan kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO Sabah terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebagai satu bentuk tuduhan yang akhirnya memakan diri sendiri.
Beliau yang juga aktivis politik berkata, Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman sepatutnya malu selepas kepimpinan tertinggi UMNO masih mengekalkan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua UMNO Sabah walaupun sedang bergelut dengan pertuduhan rasuah di mahkamah.
"Umum mengetahui baru-baru ini Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal dalam percubaan terakhir mereka untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
"Oleh itu, kenyataan terkini kononnya Hajiji sedang menghadapi 'krisis kepercayaan' dan keraguan selepas video beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima wang tular seolah-olah meludah ke langit terkena muka sendiri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, rakyat sebenarnya telah hilang kepercayaan dan menjauhkan diri daripada UMNO-Barisan Nasional (BN) dan bukannya Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sehubungan itu, beliau menyifatkan ia sebagai fakta dan bukannya sekadar retorik.
"Rosman dalam satu kenyataan turut mengingatkan agar Hajiji mempertimbangkan untuk menilai semula mana-mana anggota pentadbiran yang terpalit dalam skandal rasuah lesen perlombongan dalam masa yang sama belum ada satu pun pendakwaan dibuat ke atas mana-mana pihak oleh SPRM.
"Kerajaan Sabah sejak dari awal lagi dilihat bekerjasama rapat dengan SPRM malahan laporan Polis dan SPRM telah dibuat bagi merungkai tuduhan yang dibuat oleh pihak yang mendakwa dirinya sebagai 'whistleblower'.
"Tidak ada yang perlu disembunyikan malahan tindakan berani Hajiji membatalkan 13 lesen mineral melalui pemalsuan dokumen termasuk cubaan memohon lesen mineral seluas sejuta ekar tanah sewajarnya diberikan pujian," katanya.