Pas akan kekal parti status quo di 'Malay belt', itu sahaja - Puad Zarkashi

SHAH ALAM - Pas didakwa hanya mampu mengekalkan kedudukan sebagai parti 'status quo' di kawasan majoriti Melayu atau 'Malay belt' disebabkan ketaasuban ahlinya terhadap kepimpinan parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, meskipun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat memiliki wawasan peringkat dunia, beliau tetap tidak mempunyai daya tarikan terhadap pengundi bukan Melayu.

"Hadi orang agama, Pas pula parti yang memperalatkan agama untuk kuasa. Hadi selamat kerana ketaasuban itu.

"Justeru, Pas akan kekal sebagai parti status quo di 'Malay belt'. Itu sahaja," katanya menerusi laman Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat memuji cara pemikiran Abdul Hadi yang dikatakan melampaui manusia lain walaupun kesihatannya tidak begitu baik.

Katanya, Abdul Hadi mempunyai kecerdasan pemikiran dan wawasan yang sangat tinggi, bukan sahaja peringkat dunia tetapi juga akhirat.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berpandangan bahawa kekuatan sebenar Pas terletak pada tahap ketaasuban pengikutnya yang tinggi, yang membolehkan parti itu terus berpengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Sebelum ini parti serpihan Pas iaitu Amanah secara terbuka menentang kepimpinan Hadi yang dianggap tidak lagi relevan. Tetapi Pas tidak goyang atau pecah.

"Cuma Amanah betul kerana mereka dapat sokongan bukan Melayu dan kini jadi parti yang memerintah.

"Parti nyamuk bukan Melayu seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) cuma penumpang bukan kerana kagum pada Abdul Hadi," ulasnya.