SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengarahkan semua syarikat telekomunikasi (Telco) menyerahkan data penuh pengguna telefon di Malaysia.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, data yang diminta itu akan mengandungi pelbagai maklumat seperti rekod panggilan, penggunaan internet, lokasi Sistem Kedudukan Global (GPS) pergerakan dan lokasi keberadaan mana-mana pengguna.
Menurutnya, tiada langsung keperluan untuk data tersebut diperoleh dari telco.
"Apakah yang ingin SKMM lakukan dengan data ini? Untuk promosi pelancongan tempatan? Itu alasan mereka tetapi apa niat sebenar?
"Sudahlah isu privasi ditambah pula dengan kemungkinan data itu disalahgunakan ataupun bocor kepada pihak lain.
"SKMM usah tutup bangkai gajah dengan nyiru," katanya menerusi Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, portal berita antarabangsa memetik bahawa SKMM telah meminta telco untuk serahkan data penuh pengguna telefon di Malaysia.
Tambah Muhammad Rafique, terlalu banyak program yang disusun Madani memerlukan akses pada data rakyat.
"Adakah perlu pantau rakyat macam Malaysia negara kuku besi?
"Dalam minggu yang sama di mana pemimpin utama mohon kekebalan, berita ini amat merisaukan rakyat," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan syarikat telco bahawa rakyat yang bayar guna perkhidmatan dan kerajaan sama tidak wujud selamanya.
"Pada syarikat telco, ingatlah rakyat yang bayar guna perkhidmatan kamu, dan kerajaan tidak wujud selamanya, boleh ditukar dan dijatuhkan rakyat, tapi rakyat tetap ada.
"Pada SKMM, ini negara demokrasi bukan negara polis," katanya.