KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin diminta agar tidak memutarbelitkan fakta berhubung kenyataannya bahawa UMNO Sabah enggan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kerana pernah melalui sejarah hitam bersama gabungan itu.
Aktivis politik yang juga Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, beliau tampil untuk memperbetulkan kenyataan Bung Moktar selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.
“Saya ingin memperbetulkan kenyataan Bung Moktar kononnya salah satu penyebab UMNO Sabah enggan bekerjasama dengan GRS pada PRN17 akan datang adalah kerana UMNO Sabah pernah melalui sejarah hitam ketika bersama GRS sebelum ini.
“Sebagai salah seorang bekas aktivis UMNO, saya ingin menasihatkan Bung Moktar agar tidak memutarbelit fakta dan cuba mengelirukan rakyat kerana umum mengetahui mangsa buli politik yang sebenarnya adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan GRS, bukannya Bung Moktar dan UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Zulkarnain mendakwa sejak hari pertama Bung Moktar menganggotai Kabinet Sabah, beliau telah menerima portfolio yang sepatutnya bukan miliknya.
“Portfolio Kementerian Pembangunan Infrastruktur yang sepatutnya diberikan kepada Datuk Seri Masidi Manjun akhirnya telah diserahkan kepada Bung Moktar.
“Bung Moktar pada asalnya dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah tetapi selepas wujud ugutan secara senyap ke atas Hajiji, portfolio jawatan Bung Moktar telah ditukar,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa hampir semua jawatan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberikan kepada wakil rakyat dan pemimpin UMNO.
“Kemuncak kepada tindakan buli politik ke atas Hajiji dan GRS oleh Bung Moktar adalah apabila berlakunya rancangan langkah kudeta pada tahun 2023,” katanya.
Zulkarnain turut mendakwa bahawa umum mengetahui Bung Moktar telah bersekongkol dengan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menumbangkan kerajaan Sabah yang diterajui Hajiji.
“Malangnya, usaha ini gagal selepas wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah enggan bekerjasama.
“Jadi persoalan di sini, siapa sebenarnya mangsa buli politik, UMNO Sabah atau GRS?” ujarnya.