UMNO tidak lupa cubaan diharamkan, tolak pelawaan Tun M - Akmal Saleh

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa parti itu tidak akan melupakan sejarah cubaan untuk mengharamkan UMNO oleh individu yang kini mengajak ahli parti menyertai gerakan baharu.

Beliau merujuk kepada pelawaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu ahli UMNO menyertai Sekretariat Orang Melayu, satu gabungan politik baharu yang didakwa ditubuhkan bagi memperjuangkan pengembalian kuasa politik Melayu.

“Terima kasih Tun, kami menghargai pelawaan itu. Tetapi kami masih tidak lupa apa yang terjadi. Orang yang sama juga pernah mahu mengharamkan UMNO ketika mereka berada di tampuk kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhamad Akmal berkata, jika benar agenda menyatukan orang Melayu menjadi keutamaan, ia seharusnya lahir daripada keikhlasan hati demi agama dan bangsa, bukannya bermotifkan jawatan atau kedudukan.

“Kalau benar mahu menyatukan bangsa ini, biarlah datang dari hati yang ikhlas kerana sayangkan agama dan bangsa, bukan hanya semata-mata ingin mendapatkan jawatan untuk diri sendiri,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata bahawa beliau tidak menjemput UMNO sebagai sebuah parti, sebaliknya hanya mengalu-alukan mana-mana ahli UMNO yang bersedia menyertai Sekretariat Orang Melayu.

Sekretariat itu, menurut Dr Mahathir, bertujuan untuk mengembalikan semula dominasi politik orang Melayu dalam kerajaan yang disifatkannya semakin lemah.