Kes saman sivil Yusof Rawther: Pemuda PN desak PM cuti sementara

SHAH ALAM – Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti sementara susulan kes saman sivil yang difailkan oleh Yusof Rawther terhadap beliau.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada proses perbicaraan mahkamah untuk berjalan secara adil, telus dan saksama tanpa sebarang campur tangan kuasa eksekutif.

Menurutnya, kes tersebut bukan sahaja menyentuh soal perundangan, malah turut memberi kesan kepada maruah dan reputasi seorang Perdana Menteri di mata rakyat Malaysia.

"Ia juga mempengaruhi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan pentadbiran negara.

"Kami mencadangkan agar Timbalan Perdana Menteri 1 atau Timbalan Perdana Menteri 2 memangku jawatan Perdana Menteri bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara berjalan lancar sehingga kes ini diselesaikan.

"Pemuda PN berpegang teguh kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang. Justeru, kami menggesa agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan menyeru agar PMX berjiwa besar untuk memelihara integriti jawatan Perdana Menteri demi kepentingan negara serta rakyat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan termasuk sama ada, mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.

Tambah Afnan Hamimi, keputusan itu jelas menunjukkan bahawa seorang Perdana Menteri juga tidak terkecuali daripada prinsip kedaulatan undang-undang.

"Ia sebagaimana rakyat biasa jika terdapat saman sivil yang dikemukakan terhadap mana-mana individu warganegara Malaysia," ujarnya.