SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa tiada mana-mana pemimpin termasuk Presiden atau Perdana Menteri yang boleh dianggap kebal daripada tindakan sekiranya melakukan kesalahan ketika mentadbir atau semasa pilihan raya.
Beliau berkata, terdapat negara-negara demokrasi yang mencontohi prinsip keadilan Islam dengan mengambil tindakan terhadap pemimpin yang terlibat dalam salah laku.
“Antaranya seperti skandal Watergate di Amerika Syarikat yang menyebabkan presidennya meletakkan jawatan, begitu juga dengan pemimpin di Britain dan Jepun yang mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan demi menjaga maruah kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Abdul Hadi menjelaskan, prinsip tiada kekebalan daripada hukuman telah pun ditunjukkan dalam Islam sejak zaman para nabi dan diteruskan oleh khalifah serta pemimpin Islam terdahulu.
“Rasulullah SAW sendiri banyak beristighfar dan bertaubat, walaupun baginda tidak berdosa. Ini menunjukkan bahawa tiada imuniti di sisi syariat ALLAH,” katanya.
Beliau turut menggariskan beberapa contoh sejarah yang membuktikan bahawa keadilan ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau pangkat seseorang pemimpin.
“Khalifah Umar RA pernah dibawa ke mahkamah kerana membeli seekor kuda daripada seorang badwi. Setelah beberapa hari menunggang, didapati kuda itu cacat, dan beliau akur untuk menyelesaikannya melalui sistem perundangan,” katanya.
Tambah beliau, Khalifah Ali RA juga pernah dihadapkan ke mahkamah apabila seorang lelaki Yahudi menuntut perisai miliknya. Hakim ketika itu, Syuraih, memutuskan bahawa perisai itu milik lelaki Yahudi kerana tiada saksi daripada pihak Khalifah. Namun, lelaki itu akhirnya memulangkan semula perisai berkenaan setelah mengetahui kebenaran.
“Begitu juga Sultan Muhammad al-Fateh yang terkenal dengan kehebatan pemerintahannya, pernah diheret ke mahkamah kerana memukul seorang bukan Islam dan dijatuhkan hukuman qisas,” ujarnya.
Menurut Abdul Hadi, meskipun para nabi bersifat maksum (terpelihara daripada dosa), mereka tetap menunjukkan contoh kerendahan hati dengan memohon keampunan dan tunduk kepada peraturan ALLAH.
“Kesilapan para nabi bukan kerana derhaka, tetapi sebagai makhluk yang menjadi contoh kepada umat. Ia memperkenalkan hukum, membentuk akhlak dan membuka jalan taubat,” katanya.
Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Adam AS segera bertaubat selepas ditipu Iblis, Nabi Nuh AS berasa bersalah kerana mendoakan kehancuran kaumnya, Nabi Ibrahim AS berbohong untuk menyelamatkan diri daripada kezaliman, dan Nabi Musa AS menyesali tindakannya membunuh lelaki dari kaum Firaun.
Katanya lagi, pemimpin hari ini wajar meneladani sifat tawaduk dan bertanggungjawab seperti yang ditunjukkan oleh para nabi dan khalifah terdahulu.
“Adalah lebih utama bagi pemimpin masa kini untuk menyedari kesilapan, bertaubat dan menerima hukuman dengan terbuka. Bukannya terus bersikap angkuh atau menafikan kebenaran,” katanya.