Siasat kontraktor isu air di UMS - Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kontraktor yang bertanggungjawab terhadap isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau menegaskan bahawa Warisan menuntut ketelusan susulan isu bekalan air yang berpanjangan dihadapi di UMS, namun tidak mahu menuduh mana-mana pihak secara melulu.

"Saya mendesak agar SPRM segera menyiasat siapa kontraktor atau syarikat konsesi air yang bertanggungjawab dalam kawasan ini. Apa rekod prestasi mereka, adakah kontrak dianugerahkan secara telus, wujudkah unsur penyelewengan atau kelemahan pengurusan?

"Jika tiada apa yang disembunyikan, tiada sebab kenapa kerajaan negeri Sabah menolak siasatan daripada SPRM. Sikap terbuka terhadap semakan dan penelitian awam adalah langkah pertama ke arah penyelesaian sebenar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Shafie, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, menegaskan bahawa bekalan air bukan isu politik sebaliknya adalah hak asasi manusia, terutama bagi warga UMS.

"Krisis bekalan air yang berpanjangan di UMS bukan lagi sekadar isu tempatan, sebaliknya telah menjadi sesuatu yang memalukan negara.

"Apabila pelajar di sebuah universiti awam terkemuka terpaksa menempuh setiap hari tanpa air bersih untuk minum, memasak dan mandi, ini mencerminkan kegagalan dari sudut tadbir urus dan perancangan. Ia juga menunjukkan tiada rasa belas kasihan terhadap rakyat, khususnya golongan pelajar," ujarnya.

Tambah beliau, sudah hampir lima tahun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memegang tampuk pemerintahan, namun masih tiada kemajuan signifikan dalam menyelesaikan masalah asas yang telah lama membelenggu rakyat.

"Sekiranya perancangan rapi dan telus benar-benar dilaksanakan, tidak mungkin pelajar masih perlu berhadapan dengan masalah kekurangan air pada tahun 2025.

"Pelajar terus menderita kerana terpaksa mencari tempat tinggal alternatif, mengeluarkan belanja untuk membeli air botol, dan beratur membawa baldi semata-mata untuk menunggu giliran mandi. Sepatutnya mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran.

"Tidak hairanlah pelajar mula bersuara dan membuat protes. Mereka bukan menuntut keistimewaan tetapi hanya mahukan maruah dan hak asas mereka sebagai manusia dihormati," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agar kerajaan tidak memperbodohkan rakyat dengan cuba mengalihkan isu atau menyalahkan pihak lain.

"Jika selepas lima tahun mentadbir pun kerajaan ini masih mencari alasan dan menuding jari, maka itu adalah pengakuan terhadap kegagalan sendiri," katanya.