Lawatan ke UK guna duit sendiri, bukan dana kerajaan - Shahaniza

KUANTAN - Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menafikan menggunakan sebarang kemudahan atau ditanggung kerajaan berikutan lawatannya ke United Kingdom (UK).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merupakan antara pemimpin parti yang dilihat menyertai lawatan kerja empat hari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke UK bermula Ahad lalu.

"Posting saya semalam yang memaparkan gambar bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah digunakan oleh sebuah portal berita tanpa kebenaran dan telah mengundang pelbagai reaksi negatif netizen.

"Saya dan juga pemimpin UMNO yang lain yang turut hadir tidak menggunakan sebarang kemudahan kementerian mahupun ditanggung oleh kerajaan.

"Tuduhan menggunakan duit rakyat dan sebagainya adalah melampau," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.

Tegasnya, kehadiran mereka adalah atas perbelanjaan sendiri untuk bertemu anak-anak muda yang ingin mengaktifkan semula Kelab UMNO UK.