KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Dewan Pemuda Pas Pahang mendakwa tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen daripada DAP yang secara terbuka mencabar keputusan kerajaan dan memaksa penjelasan terbuka daripada menteri kabinet, seolah-olah parti itu adalah ‘abang besar’ dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, tindakan ini bukan sahaja biadab, malah mengesahkan apa yang selama ini rakyat sudah mula sedar bahawa DAP adalah dalang sebenar di sebalik kerajaan hari ini.
Jelasnya, Chin Chen berani bersuara bukan kerana prinsip tetapi kerana beliau mengetahui DAP adalah suara yang paling dominan dalam kerajaan campuran yang rapuh ini.
“Menteri-menteri daripada parti-parti lain seperti PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara) malah UMNO sendiri hanya mampu tunduk dan diam.
“Mereka bukan lagi pejuang suara rakyat, sebaliknya menjadi boneka yang hanya mengangguk kepada tekanan DAP,” katanya pada Selasa.
Terdahulu, Chin Chen menggesa polis supaya menghentikan siasatan terhadap Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong berhubung karikatur yang memaparkan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria sebagai badut selepas beliau didakwa membuat kenyataan fitnah.
Beliau yang juga Ketua DAP Pahang mengingatkan pihak berkuasa bahawa karikatur satira terhadap ahli politik bukanlah jenayah tetapi satu cara untuk menyuarakan pandangan, rasa tidak puas hati dan kritikan terhadap pemimpin yang dilihat menyalahgunakan pengaruh mereka serta menyebarkan kebencian.
Mengulas lanjut, Ahmad Azlan berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada ini adalah reformasi yang dijanjikan atau satu bentuk baharu pemerintahan autoritarian yang hanya berselindung di sebalik topeng ‘Madani’.
Menurutnya, rakyat semakin muak melihat kerajaan yang tidak stabil, ditarik ke sana sini oleh kehendak satu parti yang tamak kuasa.
"Kami ingin mengingatkan rakyat bahawa keseimbangan kuasa amat penting dalam sistem demokrasi. Jika satu parti sahaja terlalu berkuasa dalam kerajaan, maka suara rakyat akan tenggelam.
"Apa yang berlaku hari ini adalah amaran keras bahawa Malaysia sedang diheret ke arah pemerintahan satu parti yang mengawal segalanya dari belakang tabir," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Azlan turut mendesak semua menteri kabinet dan pimpinan parti-parti komponen kerajaan untuk berani bersuara.
"Jangan terus menjadi pak turut kepada DAP. Jika benar kalian mewakili rakyat, buktikan dengan tindakan, bukan dengan tunduk kepada tekanan DAP semata-mata demi kelangsungan jawatan.
"Kerajaan ini sudah hilang integriti, hilang prinsip, dan hilang hala tuju. Adakah Kerajaan Pahang turut terpalit dengan sikap gangster dan abang besar seperti yang ditonjolkan oleh YB (Yang Berhormat) Bilut dari DAP ini?," katanya.
.