SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa beliau sedang menikmati kehidupan yang baik pada masa ini dan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk meninggalkannya.
"Saya sedang menikmati kehidupan yang baik sekarang, kenapa saya nak tinggalkan ini?" katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Serbuk Minuman 3 dalam 1 Tealive, di sebuah pusat beli-belah pada Khamis.
Respon tersebut adalah bagi menjawab desas-desus mengenai kemungkinan beliau bakal menyertai Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, meletakkan jawatan selepas tewas dalam pemilihan PKR.
Beberapa laporan media kemudian melaporkan bahawa Khairy, yang merupakan bekas Ahli Parlimen Rembau, bakal kembali sebagai menteri.
Diminta mengulas mengenai gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya mana-mana individu Melayu termasuk ahli parti lain menyertai gerakan Sekretariat Orang Melayu, Khairy enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
"Saya bukan ahli Perikatan Nasional (PN) dan juga bukan ahli UMNO buat masa sekarang. Seeloknya saya tak komen, kita fokus kepada pelancaran ini," ujarnya.
Pada Rabu, Dr Mahathir memaklumkan bahawa satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu telah dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Dr Mahathir berkata, inisiatif itu adalah satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan menangani cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu.