KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak keras dakwaan bahawa projek pembangunan Kota Madani di Putrajaya akan membawa kepada pembaziran wang rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivamalar Genapathy menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan bersifat politik murahan yang memperlekehkan dasar pembangunan kerajaan.
"Nama Madani tidak pernah dicipta untuk mengangkat mana-mana individu. Ia merupakan teras dasar pentadbiran negara hari ini, yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan turut diubah.
Menurut Sivamalar, dakwaan bahawa Kota Madani adalah ‘Kota Anwar’ mencerminkan kejahilan terhadap dasar pembangunan bandar dan satu percubaan terdesak untuk mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, Kota Madani adalah projek berimpak tinggi yang dirancang khusus untuk menyelesaikan isu perumahan penjawat awam di Putrajaya, yang telah sekian lama terabai.
"Laporan Ketua Audit Negara 2021 mendedahkan hampir 18,000 penjawat awam masih menunggu untuk menduduki kuarters kerajaan, namun tiada projek baharu dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu," katanya.
Menurutnya, projek itu akan menyediakan 10,000 unit kuarters yang boleh menempatkan sehingga 30,000 penduduk, sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memenuhi keperluan asas penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.
Tambah beliau, hampir 90 peratus penduduk Putrajaya merupakan penjawat awam, justeru keperluan perumahan mereka harus menjadi keutamaan dalam sebarang dasar pembangunan bandar.
Mengulas mengenai reka bentuk projek, Sivamalar menjelaskan bahawa Kota Madani dibina sebagai model pembangunan bandar inklusif dan mampan, dengan segala kemudahan asas seperti sekolah, tadika, medan selera, dewan komuniti dan perbankan boleh diakses dalam jarak berjalan kaki selama 15 minit dari kediaman.
"Kota Madani bukan untuk golongan elit, bukan sindrom pencakar langit. Ia adalah penyelesaian konkrit untuk rakyat yang selama ini terpinggir daripada akses perumahan berkualiti di pusat pentadbiran negara," jelas beliau lagi.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Wan Saiful sebagai usaha politik lapuk yang hanya menghalang inisiatif kerajaan untuk membawa perubahan dan manfaat kepada rakyat.
"Jika benar beliau prihatin terhadap rakyat, seharusnya beliau menyokong usaha ini. Rakyat tidak perlukan retorik, tetapi penyelesaian sebenar," tegas Sivamalar.