Karikatur badut: Tindakan Speaker Dun Pahang melampau, tak hormat undang-undang' - Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Lee Chin Chen yang menggesa pihak polis hentikan siasatan terhadap Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong berhubung karikatur badut adalah melampau dan tidak menghormati proses undang-undang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia dilihat seolah-olah mereka mempunyai kuasa untuk menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka.

Menurutnya, alasan bahawa karikatur tersebut merupakan bentuk ekspresi seni satira yang menyampaikan kritikan juga adalah satu dakwaan dangkal.

"Seni tidak seharusnya dicemari dengan mesej berunsur penghinaan, apatah lagi jika ia datang daripada seorang Exco kerajaan negeri terhadap lawan politiknya.

"Sebagai anggota kerajaan, beliau seharusnya membalas hujahan Ketua Pembangkang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria dengan fakta dan penerangan yang berasaskan ilmu, bukan dengan penghinaan peribadi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Chin Chen menggesa polis supaya menghentikan siasatan terhadap Kah Leong berhubung karikatur yang memaparkan Razman sebagai badut selepas beliau didakwa membuat kenyataan fitnah.

Chin Chen yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADUN) DAP Bilut mengingatkan pihak berkuasa bahawa karikatur satira terhadap ahli politik bukanlah jenayah tetapi satu cara untuk menyuarakan pandangan, rasa tidak puas hati dan kritikan terhadap pemimpin yang dilihat menyalahgunakan pengaruh mereka serta menyebarkan kebencian.

Tambah Tuan Ibrahim, Pengerusi DAP Pahang itu sepatutnya menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Beliau tidak sepatutnya mencampuri urusan siasatan pihak polis kerana sistem negara ini menjunjung pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

"Tindakan YB DAP ini wajar membuka mata rakyat Malaysia untuk menilai dan menolak politik sombong serta angkuh yang dibawa oleh DAP dan Pakatan Harapan," ujarnya.