'Gugur Tengku Zafrul daripada Kabinet berpotensi gugat kestabilan negara' - Rizwan

SHAH ALAM - Desakan terhadap Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melepaskan jawatan sebagai Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) tidak dianggap sebagai langkah tepat kerana berpotensi menjejaskan kestabilan negara.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Rizwan Shah Azlan berkata, negara berada pada saat genting yang memerlukan gabungan tenaga pakar dan pengalaman seperti yang dimiliki oleh Tengku Zafrul dalam barisan Kabinet hari ini.

"Amatlah tidak wajar Tengku Zafrul didesak untuk melepaskan jawatan menteri di saat penting ini, lebih-lebih lagi dengan prestasi dan rekod pencapaian beliau yang konsisten.

"Ketika negara memerlukan barisan Kabinet terbaik, tenaga dan kepakaran seperti beliau tidak seharusnya diletakkan di bangku simpanan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rizwan memberitahu, dunia sedang berdepan dengan pelbagai isu penting seperti ketegangan geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan global, ketidaktentuan pasaran komoditi, tekanan inflasi dan keperluan untuk memperkukuh daya saing pelaburan negara.

"Malaysia juga sedang memperhebat usaha peralihan ekonomi berteraskan digital, teknologi hijau dan perindustrian berimpak tinggi.

"Sudah pasti semua pemain utama negara harus dipertaruhkan," ujar beliau.

Beliau juga menyifatkan Tengku Zafrul sebagai menteri yang sentiasa meletakkan kepentingan negara di hadapan, selain mempunyai pengalaman luas dalam sektor kewangan dan pentadbiran korporat.

Jelas beliau, tidak ramai yang mempunyai gabungan pengalaman sektor awam dan swasta seperti Tengku Zafrul.

Rizwan memberitahu, sumbangan Tengku Zafrul dalam menarik pelaburan, membina keyakinan pelabur dan membuka ruang baharu dalam perdagangan antarabangsa jelas terbukti

"Saya percaya keputusan Tengku Zafrul adalah terbaik untuk beliau dan dibuat berdasarkan pertimbangan mendalam demi kepentingan negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menghormati dan menyokong individu yang berusaha untuk membawa perubahan positif kepada negara tanpa mengira latar belakang politik.

"Saya juga yakin jika diberikan peluang, beliau akan menjadi ahli politik yang mampu kita banggakan tidak kira di mana beliau berada," tambahnya.

Pada Sabtu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan semua jawatan dipegangnya dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

Tengku Zafrul berkata, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri MITI tidak terjejas walaupun beliau mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anwar berkata, Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas sangat baik dengan pelaburan negara bernilai ratusan billion dikendalikan hasil usaha beliau sebagai Menteri MITI.