SHAH ALAM – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa melenting susulan kritikan beliau terhadap MCA yang didakwa menyerang Kerajaan Perpaduan dengan fakta tidak tepat dan separuh masak.
Menurutnya, kenyataan tersebut hanya ditujukan kepada MCA dan tiada sebarang isu yang timbul berhubung kedudukan UMNO dalam kerajaan.
“Ada baiknya Yang Berhormat (YB) Dr Akmal bertanya kepada ahli Parlimen backbenchers UMNO tentang hubungan saya dengan mereka.
“Kami bersama-sama sering mempertahankan Kerajaan Perpaduan daripada serangan pembangkang dalam Dewan Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Muhamad Akmal mencabar Syahredzan supaya membawa usul agar Barisan Nasional (BN) dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan.
Cabaran itu dibuat berikutan kenyataan Syahredzan sebelum ini yang menyarankan agar MCA dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan kerana didakwa sering menyerang dengan fakta tidak tepat dan separuh masak.
Tambah Syahredzan, hubungannya dengan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO juga berada dalam keadaan baik serta beliau pernah membantu kementerian terlibat dalam menghadapi serangan daripada pembangkang.
“Mungkin YB Dr Akmal boleh bertanya kepada UMNO di Bangi tentang kerjasama yang baik antara kami di sini. Tanyalah tentang hubungan saya dan DAP Bangi dengan UMNO di kawasan Bangi.
“Silakan YB Dr Akmal. Sila bertanya mereka. Saya boleh tunggu,” ujar beliau.
Tegasnya, Dr Akmal sepatutnya mendapatkan pandangan daripada individu rapat dengannya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyerang dan mencabar beliau.