Tak terfikir jawatan menteri, itu hak mutlak PM - Taufiq Johari

SUNGAI PETANI - Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan tidak pernah terfikir untuk memegang jawatan sebagai menteri Kabinet selepas berlaku kekosongan dan kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pertimbangan pucuk pimpinan parti.

Menurutnya, keputusan melantik mana-mana individu ke jawatan dalam kerajaan merupakan hak mutlak Perdana Menteri dan kepimpinan tertinggi parti.

“Tidak terfikir oleh saya (lantikan jawatan menteri). Saya serahkan semuanya kepada pucuk pimpinan. Itu semua hak mutlak Perdana Menteri dan saya percaya kepimpinan tahu apa yang terbaik,” katanya selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan sempena Minggu Perubatan Kecemasan Sedunia peringkat negeri di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini pada Sabtu.

Mengulas peluang disenaraikan dalam Kabinet, Muhammed Taufiq tegaskan tidak mengharapkan sebarang jawatan dan keutamaan kini adalah memikul amanah yang telah diberikan di kawasan dan sayap parti.

Ketika ditanya mengenai tanggapan bahawa beliau antara pemimpin muda PKR yang dilihat memiliki kredibiliti dan berpotensi menggalas amanah lebih besar, beliau ringkas menjawab, “Saya tak tahu yang itu. No comment.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan spekulasi calon pengganti dalam barisan Kabinet.

Rabu lalu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatan itu selepas kecundang pada Pemilihan PKR 2025 apabila beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Sementara, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuatkuasa 4 Julai depan.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq menghormati keputusan Rafizi dan menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada perkara normal dalam politik, selaras dengan pendirian awal Rafizi ketika berkempen dalam pemilihan parti tersebut.

“Saya hormati keputusan mereka dan menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan terbaik, bukan sahaja untuk parti, tetapi juga rakyat keseluruhannya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Rafizi diharap terus menyumbang kepada parti dan negara khususnya dari aspek idea dan tenaga, walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Sumbangan beliau masih diperlukan, bukan sahaja oleh parti tetapi juga oleh rakyat di Parlimen Pandan dan seluruh negara,” tambahnya.

Mohammed Taufiq turut berharap agar kekosongan jawatan yang ditinggalkan itu dapat diisi oleh individu yang berkeupayaan meneruskan agenda serta dasar yang telah dirangka.

“Kita hormati keputusan tersebut, namun agenda dan visi yang telah diusulkan sebelum ini mesti diteruskan. Ini bukan sesuatu yang terlalu serius, tetapi perlu diurus dengan baik,” katanya