SHAH ALAM - Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar UMNO dan berhasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menimbulkan persoalan kepada prinsip kesetiaan dan integriti politik.
Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, UMNO sebagai sebuah parti yang berasaskan perjuangan kolektif dan berakar umbi tidak seharusnya diperlakukan sebagai platform sementara untuk kepentingan peribadi atau survival politik jangka pendek.
Menurutnya, keputusan Tengku Zafrul mungkin dianggap sah dari sudut hak individu, namun mengecewakan dari segi moral politik.
"Secara peribadi, saya memandang serius keputusan YB Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO (Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua Bahagian Kota Raja) dan hasrat untuk menyertai PKR.
"Beliau adalah individu yang telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan menteri dan dilantik sebagai Senator yang mewakili UMNO tetapi telah mengumumkan satu keputusan besar sehingga menimbulkan persoalan kepada prinsip kesetiaan dan integriti politik.
"Saya yakin, keputusan Tengku Zafrul ini mengecewakan banyak pihak terutamanya di antara komponen BN (Barisan Nasional) yang sedang berhempas pulas dan bertungkus lumus untuk menaikkan semula nama besar gabungan ini di pesada politik tanah air," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil masa yang panjang untuk menilai keserasian dan kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan.
Nurulhidayah berkata, UMNO tidak pernah menghalang perbezaan pandangan, namun prinsip kesetiaan dan perjuangan bersama tidak boleh dikompromi.
Justeru, beliau mengingatkan ahli parti untuk terus kekal istiqamah, memperkukuh parti dan menjadikan tindakan Tengku Zafrul sebagai pengajaran bahawa perjuangan UMNO bukan tentang individu, tetapi tentang ahli, masa depan parti UMNO dan komponen besar BN secara menyeluruh.
"Siapa pun kita di dalam parti (berjawatan tinggi atau tidak berjawatan), bagi mereka yang kekal setia, marilah kita merapatkan saf perjuangan yang masih berbaki ini," katanya.