SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menerima sebarang permohonan rasmi setakat ini berhubung hasrat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti berkenaan.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh menjelaskan bahawa semua permohonan keanggotaan PKR dilakukan melalui kaedah permohonan secara dalam talian.
“Merujuk kepada kenyataan di laman sosial peribadi beliau (Tengku Zafrul), PKR belum menerima sebarang permohonan rasmi setakat ini.
“Setiap permohonan akan melalui proses biasa, di mana selepas permohonan dibuat secara dalam talian, ia akan diproses dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil masa yang panjang untuk menilai keserasian dan kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan.
Dalam pada itu, Fuziah berkata permohonan tersebut akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum keputusan dibuat, dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang termasuk pandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi.
“Sementara itu, saya juga dimaklumkan bahawa YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul akan menunaikan ibadah haji. PKR mendoakan agar beliau selamat pergi dan kembali, serta memperoleh haji yang mabrur,” katanya.